MUADZAM SHAH – Dalam usaha mewujudkan produk tarikan di Bandar Muadzam Shah, di sini, sekumpulan pelajar jurusan Pengurusan Pelancongan Politeknik Muadzam Shah telah memilih untuk menghasilkan lukisan dinding yang kini menjadi trend di beberapa bandar lain dalam negara.

Hasil lukisan seni yang turut melibatkan 38 pelajar dari Jabatan Reka Bentuk, Komunikasi dan Visual (JRKV) PMS itu diberi nama #tembokmuadzam yang kini sudah mula menjadi tarikan penduduk setempat yang berkunjung untuk sesi bergambar.

Koordinator Projek, Irma Nur Syahirin Ali Zaini, 21, berkata, projek lukisan yang melibatkan pelbagai konsep seperti doodle art, mural dan lukisan 3D tersebut berjaya disiapkan dalam masa lima hari setelah diberi kebenaran Majlis Daerah Rompin (MDR).

“Pada mulanya idea menjalankan projek ini timbul setelah berbincang dengan sembilan rakan lain yang mahu mencari sesuatu yang mampu menjadi tarikan supaya bukan sahaja penduduk setempat tetapi pelancong tempatan dan luar berkunjung ke sini.

“Tidak sangka pula dapat kerjasama yang sangat baik dari pihak MDR dan pelajar JRKV yang akhirnya projek #tembokmuadzam ini berjaya disiapkan. Saya lihat kini ia mula menjadi tarikan bagi penduduk setempat bersantai mengambil gambar,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lebih berasa puas setelah ia disiapkan kerana semua yang terlibat terpaksa mengeluarkan wang sendiri dan dikumpul untuk membeli cat serta peralatan dengan anggaran kos sebanyak RM2,000.

“Kedai berhampiran #tembokmuadzam itu kini juga semakin ramai dikunjungi.

“Sambutan dan respons yang sangat baik diberikan masyarakat setempat setakat ini turut menjana semangat positif dan tidak mustahil akan ada lagi projek sebegini pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PMS, Wan Muhammad Afifi Wan Abdullah turut berbangga dan gembira dengan usaha pelajar yang mencipta sesuatu dalam usaha menghasilkan produk yang mampu menjadi tarikan pelancong ke Muadzam Shah.

“Saya harap penduduk sekitar Muadzam Shah dapat menguar-uar mengenai #tembokmuadzam ini dengan mengambil gambar dan dikongsikan di media sosial supaya masyarakat luar tahu mengenai kewujudannya,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/pahang/ikon-baharu-muadzam-shah-1.369591#.VQfKtWNCb5Y.facebook