Laporan Pertemuan JPP dengan Pihak Koperasi

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera saya ucapkan kepada warga Politeknik Muadzam Shah. Semoga permulaan hari yang baik memberi kecemerlangan yang berterusan kepada diri kita untuk menempuh hari yang bakal mendatang.

Buat pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi sekalian,pada 1hb Mac yang lalu, satu pertemuan ringkas telah diatur diantara pihak perwakilan pelajar dan pihak Koperasi bagi membincangkan tentang permasalahan pelajar yang melibatkan koperasi. Pertemuan ringkas itu berlangsung di Jabatan Perdagangan bersama Tuan Haji Nor Rahim Muhayat yang yang bertindak selaku Pengerusi Koperasi Politeknik Muadzam Shah.

Didalam pertemuan tersebut, kami membincangkan tentang beberapa pemasalahan pelajar yang disalurkan melalui kami. Antara perkara yang dibangkitkan didalam perbincangan ini adalah seperti berikut:

Penjualan barangan di koperasi yang mahal
Merujuk kepada rungutan yang disuarakan oleh pelajar Politeknik Muadzam Shah melalui kempen “Peti aduan dan cadangan” yang dijalankan pada pertengahan bulan 2 yang lalu ,didapati bahawa  kebanyakan pelajar yang membuat aduan mengatakan barangan yang dijual di koperasi mahal. 

Penelitian aduan telah dibuat. Hasil daripada penelitian tersebut,kami dapati rungutan yang dikeluarkan oleh  pihak pelajar ada asasnya berdasarkan kepada pemeriksaan  rambang beberapa barangan keperluan yang dijual melebihi harga yang sepatutnya. Ini dapat dibuktikan berdasarkan penyenaraian barangan berikut:

1.       Maggi yang dijual dengan harga Rm1.50 sebungkus
(Harga pasaran adalah sekitar Rm1 sebungkus)
2.       Minuman Ringan 1.5 liter yang dijual dengan harga Rm4
(Harga pasaran adalah sekitar Rm3.30-3.50)
3.       Panadol yang dijual Rm1.50 untuk 2 biji
(sedangkan harga sebenar Rm3 sepapan)
4.       Tambah nilai telefon Bimbit Rm5
(Dikenakan caj tambahan Rm0.50)
5.       Dan beberapa barangan kecil yang dinaikkan harga sekitar 20-30 sen seunit.

Di pihak kami,kami merasakan adalah sesuatu yang tidak patut bagi pihak pihak koperasi untuk menaikkan harga barangan sesuka hati dan menjualnya dengan harga lebih mahal dari barangan luar. Ia seolah-olah mengambil kesempatan diatas kesulitan pelajar untuk turun ke Bandar  bagi membeli barangan keperluan  disamping ketiadaan pesaing menjadikan aktiviti bermain harga wujud disitu. Kami berharap melalui aduan yang disampaikan  secara rasmi melalui En Nor Rahim, harga barangan di koperasi dan diluar dapat diselaraskan.

Perkhidmatan Mesin Basuh yang tidak memuaskan
Hasil penelitian dari aras ke aras oleh pihak JPP yang bertindak memeriksa setiap mesin basuh di semua blok,pihak kami mendapati kebanyakan mesin basuh yang disediakan mempunyai masalah yang sama. Antara permasalahan yang dihadapi pelajar adalah:

1.       Perpaipan dari mesin basuh ke sumber air tidak dilakukan dilakukan dengan sempurna. Air meleleh disekeliling paip.
2.       Mesin basuh yang tidak boleh membersih tetapi boleh mengeringkan baju.
3.       Mesin basuh yang boleh membersih tetapi tidak boleh mengeringkan baju.
4.       Enjin mesin basuh yang hilang kuasa cucian. Kemampuan mencuci 7kg tetapi realitinya kurang daripada itu.
5.       Rosak sepenuhnya dan tidak dapat digunakan dengan baik.

Dari maklumbalas dan pemerhatian yang kami lakukan,kebanyakan pelajar mendakwa  kebanyakan mesin basuh ini bermasalah sejak dari mula mereka dapat lagi.  Ini sekaligus membuktikan yang masalah sebenar berpunca daripada pembelian mesin basuh “second-hand” yang tidak diselia dengan baik. Ketika masalah ini semakin menjadi-jadi, pelajar sudah mula membandingkan tentang pembayaran yuran dobi sebanyak Rm20 setiap semesta  dengan kualiti perkhidmatan yang disediakan. Ini kerana dipihak pelajar, kami mendapati setiap sen wang yang dilaburkan sememang nya digunakan untuk membeli mesin basuh yang rosak. Jadi bukankah itu satu pembaziran?

Tuntutan Hak Pelajar melalui Dividen Koperasi
Setiap penuntut di Politeknik Muadzam diwajibkan  membayar yuran keahlian koperasi sebanyak Rm15 untuk sepanjang sesi pengajian. Keahlian pelajar itu juga memberi hak kepada pelajar untuk mengetahui dan menerima dividen koperasi sesudah mereka menamatkan pengajian di politeknik ini. Walau bagaimanapun pemberian dividen itu tidak berjalan dengan baik kerana pihak pelajar sendiri tidak mengetahui yang mereka berhak mendapat dividen diatas keuntungan tahunan koperasi sekaligus mengurangkan permintaan untuk menuntut wang mereka.

Disamping itu,pihak JPP juga ada menyentuh mengenai pembahagian keuntungan diantara syarikat bas dan pihak koperasi. Perkara ini terpaksa disentuh disebabkan ia mempengaruhi pulangan keuntungan yang pihak koperasi dapat sekaligus mempengaruhi kadar dividen yang para pelajar yang juga berperanan sebagai ahli koperasi politeknik muadzam shah dapat. Pihak kami mendapati kaedah pembahagian keuntungan terdedah kepada unsur penipuan kerana pembayaran tunai yang dilakukan pelajar kepada pemandu bas (Rm1.50) tidak disertakan dengan tiket/resit. Jadi bagaimana pihak koperasi dapat meneliti jumlah keuntungan yang sebenar dengan jumlah keuntungan yang pihak koperasi dapat kerana kemungkinan angka yang diberikan adalah berbeza.

Perkhidmatan Bas Shuttle
Kami juga memberi cadangan kepada pihak koperasi supaya dapat memberi diskaun kepada pelajar yang kerap turun ke Bandar melalui pakej bulan ataupun melalui pelan kad diskaun. Ini kerana kadar bayaran Rm3 untuk perjalanan pergi balik ke Bandar pada hampir setiap hari sememangnya membebankan pelajar. 


Ulasan ringkas mengenai pertemuan ini
Alhamdulillah pertemuan pihak kami bersama Tuan Haji Nor Rahim tidak sia-sia kerana segala isu yang dibangkitkan oleh wakil pelajar diterima baik oleh pihak koperasi. Walau bagaimanapun, pihak koperasi meminta pihak JPP menyediakan surat hitam putih bagi memastikan segala isu yang dibangkitkan dapat diambil tindakan. 

Mengenai perkara yang melibatkan dividen koperasi pula,ianya hanya dapat diselesaikan dengan tertubuhnya organisasi koperasi secara rasmi melalui mesyuarat Agung yang akan dilakukan pada bulan 6 ini.
Itu sahaja laporan kami wakil pelajar kepada pelajar.
“Suara Mahasiswa untuk Mahasiswa”



(MOHD AZMIR SHAH BIN AZMI)
Naib Setiausaha
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar
Politeknik Muadzam Shah

0 comments:

Sebarang pandangan dan maklumbalas yang positif daripada pihak anda amat kami perlukan. Jadi luangkan 2-3 minit untuk menuliskan komen diruangan bawah ini. =)